Tindakan dua ADUN keluar parti tak mengejutkan - Anwar


TINDAKAN
dua ADUN Kedah yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) baru-baru ini sudah dijangka dan tidak mengejutkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, apa yang berlaku membuktikan tindakan tegas parti untuk mengambil tindakan terhadap individu bermasalah dalam parti itu seperti dilakukan kebelakangan ini wajar dan berasas.

"Sebelum ini orang kata tiada bukti (tindakan diambil), adakah hendak tunggu bukti sampai hari inikah (baru ambil tindakan tegas parti)?" katanya dipetik laporan Sinar.

Anwar mengulas tindakan ADUN Lunas Azman Nasrudin dan Robert Ling Kui Ee (Sidam) yang mengumumkan menyokong Muhyiddin dan menjadi ADUN bebas di Kedah.

Menurutnya lagi, keputusan kedua-dua ADUN itu juga sekali gus mengenepikan dakwaan kononnya tindakan disiplin dikenakan parti terhadap sebahagian pemimpin dan ahli mereka tanpa beralaskan sebarang bukti kukuh.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beberapa siri tindakan disiplin sama ada penggantungan atau pemecatan ahli dibuat KEADILAN sejak kebelakangan ini susulan parti itu sudah tahu ada pihak yang cuba 'mengkhianati' perjuangan.

Politik di Kedah
Terdapat 36 kerusi DUN di Kedah, dengan KEADILAN kini memegang lima, Bersatu (enam), Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua).

Pas dan UMNO masing-masing mempunyai 15 dan dua kerusi.

Hanya dua kerusi diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan negeri baharu dengan pemerhati politik menjangkakan calon Menteri Besar baharu adalah dari parti Pas.

Antara nama-nama ADUN Pas yang disebut-sebut bakal menggalas jawatan utama pentadbiran kerajaan Kedah itu ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, mengenai perkembangan politik di Kedah, Menteri Besar, Mukhriz Mahathir mencadangkan agar pembangkang mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekiranya berhasrat untuk mengambil alih kuasa pemerintahan.
Menurut beliau, pengumuman menerusi sidang media kononnya kerajaan Kedah diterajuinya tumbang setelah Perikatan Nasional (PN) beroleh majoriti 23 sokongan adalah tidak relevan dan tidak mengikut Perlembagaan Undang- Undang Tubuh Negeri Kedah.

"Mesyuarat Exco memutuskan, bagi memastikan menteri besar masih mempunyai sokongan majoriti atau tidak, kami syorkan kaedah itu dilakukan melalui persidangan DUN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kedah hari ini.



Post a Comment

0 Comments