Pulau Pinang pertimbang kaji semula kadar cukai


KERAJAAN
Pulau Pinang dilapor akan mempertimbang semua bantahan berhubung kadar baru cukai taksiran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, yang dipetik Bernama berkata sebanyak 95,125 bantahan berhubung kadar baru itu.

Pertimbangan semula itu juga dibuat jelasnya berdasarkan 20 peratus bantahan dikemukakan menyentuh faktor ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

"Keadaan ekonomi telah menjadi satu faktor walaupun sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac kerana Covid-19 telah pun menular sekitar dunia selama beberapa bulan sebelum pelaksanaan PKP lagi.

"Oleh itu, saya berpendapat bahawa ini adalah satu faktor yang sangat wajar dipertimbangkan secara serius kerana kita bakal menghadapi kemerosotan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, di George Town hari ini.

Pada 19 Julai tahun lepas, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menilai semula kadar cukai taksiran setelah 15 tahun cukai itu tidak dinilai semula mengikut Seksyen 137(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
 

Post a Comment

0 Comments