Polis Johor pantau sidiket migran

     
                                                                                                                                                                                                                                                                       SINDIKET penyeludupan migran di Johor dipercayai didalangi beberapa pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru semalam berkata, kira-kira 20 sindiket yang dikenal pasti dengan aktiviti itu sedang dipantau oleh polis

“Dalang yang dikenal pasti pula kurang daripada 10 orang termasuk pegawai dan anggota agensi penguat kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata dalam masa sama, pihaknya memberikan tumpuan terhadap usaha mengesan dan menahan tekong darat dan laut yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan penyeludupan migran berbanding usaha sebelum ini yang banyak tertumpu kepada penahanan migran.

Beliau turut memberi amaran kepada pemilik tanah, rumah sewa, inap desa, hotel dan rumah kongsi supaya tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dengan menjadikan rumah kongsi mereka sebagai tempat penampungan atau perlindungan migran.

“Begitu juga dengan aktiviti pemandu teksi yang bersekongkol dengan rangkaian penyeludupan migran dengan menghantar ke rumah tumpangan,” tegasnya.

Dalam perkembangan terbaru, Ayob Khan berkata polis menahan 20 tekong dan 24 migran warga Indonesia menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan dalam sembilan serbuan di Wilayah Iskandar dan Kota Tinggi, antara 22 dan 27 April lalu.

Sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan serta sembilan lelaki dan seorang wanita Indonesia berusia antara 20 dan 57 tahun, manakala kesemua migran yang ditahan pula terdiri daripada 21 lelaki dan tiga wanita Indonesia berusia antara 19 dan 31 tahun.

Polis turut merampas satu pistol tiruan, lapan peluru hidup .38, sebuah kereta Proton Wira yang dijadikan teksi, 27 telefon bimbit, wang tunai RM2,000 serta 3.95 juta rupiah.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.                                                                                                                                                

Post a Comment

0 Comments