PN hampir mustahil kekal bertahan, kata Anwar


KETUA
Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yasin "hampir mustahil" kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anwar berkata begitu sebagai mengulas jangkaannya jika kerajaan itu kekal bertahan untuk tempoh tiga tahun lagi dalam sesi wawancara bersama Bloomberg Television.

"Hampir mustahil. Tetapi bagi pembangkang, saya fikir apa yang penting adalah komitmen kita terhadap agenda reformasi." tegas Presiden KEADILAN itu.

Tambah Anwar, pentadbiran Muhyiddin itu kini "takut" terhadap kemungkinan usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berjaya. Ia tegas Anwar dapat dilihat dengan langkah mengehadkan sidang Dewan Rakyat semalam kepada titah diraja Yang di-Pertuan Agong semalam.

"Jika kerajaan sekarang ada keyakinan (sokongan majoriti), mereka akan mengadakan sidang Parlimen seperti lazimnya. Mereka tidak berbuat demikian.

"Mereka takut undi tidak percaya akan berjaya," tambah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu lagi.

Ditanya sama ada beliau akan dinamakan sebagai perdana menteri atau tidak jika usul itu berjaya, Anwar hanya berkata beliau kini dalam usaha mengukuhkan pemimpin pembangkang dan mahu meneruskan komited terhadap agenda reformasi.

Rakyat Malaysia jelasnya akan terus menggesa ke arah pembaharuan struktur dan bukan hanya perubahan kosmetik berkaitan individu yang dilantik ke tampuk kuasa.

"Pengambilalihan (adalah) melaksanakan pembaharuan yang berkesan. Bagi memastikan cukuplah dengan rasuah, pembaziran, kronisme dan kompromi terhadap kedaulatan undang-undang

"Rakyat bukan hanya mahu kita ambil alih. Ambil alih untuk apa? Hanya untuk tukar menteri? Kami di sini, kami terima mandat untuk melaksanakan pembaharuan struktur di negara ini.

"Ini bukan isu personaliti. Orang cenderung untuk bercakap tentang personaliti," tambah Anwar lagi. 

Post a Comment

0 Comments