Pemimpin DAP persoal keberkesanan subsidi untuk PKS


AHLI
Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan keberkesanan dalam memberikan subsidi gaji RM13.8 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti diumum kerajaan.

Beliau merujuk kepada statistik terkini yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan telah meluluskan pembayaran subsidi gaji RM2.24 bilion pada 17 Mei untuk membantu dua juta pekerja.

"Ini hanya 16 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukkan.

"Kenapa begitu? Adakah syarikat-syarikat berkenaan tidak memerlukan subsidi gaji jadi mereka tidak bersusah payah untuk memohonnya? Sekiranya demikian, itu berita baik bagi kami," katanya pada webinar anjuran sebuah badan pemikir tempatan.

Pua turut bertanya sekiranya perusahaan akan mendapat bantuan subsidi gaji tepat pada waktunya sebelum perniagaan mereka terpaksa gulung tikar dan memberhentikan pekerja.

Turut dipersoalkan tempoh masa yang diambil untuk peruntukan diagihkan kepada majikan yang permohonannya telah diluluskan serta jumlah pinjaman yang telah diluluskan oleh kerajaan dan apakah pinjaman tersebut telah sampai kepada PKS.

"Jumlah yang kita lihat sebenarnya adalah RM2.24 bilion yang diluluskan untuk agihan.

"Jika ini kerana terlalu banyak kesukaran dan terlalu banyak sekatan (untuk pemohon memohon), maka program subsidi gaji RM13.8 bilion pada dasarnya hanyalah sekadar angka rekaan," katanya dipetik.

Pemimpin DAP itu menegaskan bahawa  penting untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dan pemberian pelbagai bantuan yang dinyatakan dalam pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion.

Menurutnya, hal ini dengan mengambil kira pakej rangsangan RM17 bilion yang diumumkan pada era bekas perdana menteri Najib Razak di mana kadar pengambilan pinjaman yang dijamin oleh kerajaan hanya sekitar 10 peratus.

"Oleh demikian, ia tidak berkesan pada akhirnya," kata Pua.