Pemandu dipercayai mabuk rempuh pasar ramadan


SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda ditahan polis selepas memandu secara melulu dipercayai dalam keadaan mabuk di kawasan tapak penjaja di Bukit Sentosa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarrudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suspek memandu kenderaan jenis Toyota Hilux memandu secara merbahaya sehingga mengakibatkan empat individu termasuk seorang wanita cedera.

“Suspek berusia 32 tahun itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk memaki hamun anggota polis yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa, sebelum dia melanggar orang awam dan gerai makanan di tapak penjaja itu.

"Mangsa yang cedera berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun, namun kesemua mereka dilaporkan stabil,” katanya melalui kenyataan media.

Semalam, rakaman kenderaan itu dirakam merempuh beberapa individu dan beberapa khemah peniaga di tapak bazar Ramadan tular.

Pemandu Toyota Hilux itu membuat beberapa pusingan di dalam tapak bazar Ramadan menyebabkan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri dan kekecohan timbul di tapak bazar Ramadan berkenaan.

Beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan individu lain dilihat membaling objek ke arah kenderaan itu dalam usaha menghentikannya.

Sementara itu, polis setakat ini mengenal pasti dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak penjaja itu yang mengalami kerosakan akibat dilanggar suspek.

"Kita telah menerima lima laporan polis daripada peniaga gerai dan mangsa." katanya.
 

Post a Comment

0 Comments