PERTUBUHAN yang memperjuangkan hak asasi, Tenaganita mengkritik pentadbiran Muhyiddin susulan kluster baru yang dikesan di Depot tahanan imigresen Bukit Jalil.
Pengarah Eksekutifnya, Glorene A Das melalui satu kenyataan berkata, sebelum ini mereka telah berulang kali menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan merebaknya wabak di kalangan penghuni pusat tahanan itu.
Tegasnya, kawasan tertutup dan kitaran berterusan orang masuk dan keluar dari pusat tahanan berkenaan akan menjadi pusat penyebaran virus koronavirus (Covid-19) yang sempurna.
Glorene turut bimbang keadaan akan jadi lebih buruk kerana menurutnya pusat tahanan di negara ini telah didokumenkan sebagai tidak berupaya memberikan khidmat penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada penghuninya.
Menjelaskan keadaan pusat tahanan yang tidak begitu baik, Das mengulangi gesaan Tenaganita supaya pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal dengan selamat dan segera membebaskan pelarian dan pemohon suaka.
"Kami percaya tindakan ini akan mengurangkan risiko (jangkitan) dengan pantas tetapi amaran sebegitu tidak ditanggapi dengan serius dan hari ini 60 pesakit positif ditahan di satu pusat tahanan di Bukit Jalil," katanya.
"Sistem penjagaan kesihatan pusat tahanan ini tidak dilengkapi untuk menghadapi atau mengendalikan wabak koronavirus," katanya mengulas dapatan terbaru bahawa kira-kira 60 pendatang positif Covid-19 ketika berada dalam tahanan imigresen.
Tenaganita sebelum ini membantah tindakan imigresen menahan pendatang tanpa izin ketika berlangsungnya sekatan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak 18 Mac.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata pesakit dari kluster Bukit Jalil telah ditempatkan di depot tahanan itu sejak permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Selain, kluster Bukit Jalil, KKM juga menjalankan sarigan terhadap tahanan di Depot Tahanan Semenyih di Selangor, selepas dua kes dikesan dari situ.
Dua tahanan itu bagaimanapun dilaporkan hanya didapati positif selepas pulang ke negara asal Myanmar dan dua kes ini tidak termasuk di dalam senarai kes tempatan.
Menurut The Myanmar Times, negara itu telah merekodkan 11 kes import dari Malaysia, semuanya pekerja asing yang dihantar pulang baru-baru ini.
0 Comments