SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam Sungai di Kuala Kedua, Baling, Kedah petang semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali yang dipetik laporan Sinar berkata, mangsa, Muhammad Danish Iskandar Abdul Muizz bermain bersama ibu dan adik perempuannya berusia setahun berada di hadapan rumah mereka sebelum mangsa ditemui lemas dalam sungai.
Tambah Syed Basri, kejadian berlaku dipercayai setelah ibu mangsa meninggalkannya sebentar untuk masuk ke rumah.
"Kehilangan mangsa disedari neneknya yang mendapati mangsa tiada," katanya.
Tambahnya, hasil pencarian, ibunya menemui selipar kanak-kanak itu di tepi sungai di belakang rumah mereka yang berada hanya kira-kira dua meter dari tebing sungai.
"Paras sungai agak dalam berikutan keadaan hujan lebat sejak kebelakangan ini," katanya.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui kurang dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh oleh orang asli Lubuk Legong dalam keadaan terapung.
Difahamkan, mangsa menetap di rumah itu bersama ibu dan nenek sejak empat tahun lalu sementara bapanya berniaga air di Alor Setar.
"Kita percaya mangsa terjatuh ke dalam sungai dan siasatan setakat ini mendapati, tiada unsur jenayah," tambahnya.
Susulan itu jelas Syed Basri, mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
0 Comments