HARAPAN terbuka jika Bersatu mahu kembali - Anwar


DATUK
Seri Anwar Ibrahim mengambil sikap berlapang dada dan terbuka sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu kembali menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mengingatkan Bersatu bahawa mereka perlu patuh kepada agenda perubahan serta tidak mengkhianat perjanjian dipersetujui seperti yang berlaku sebelum ini. 

"Harus patuh kepada agenda perubahan, reformasi yang dipelopori dalam HARAPAN, termasuk menolak sistem korup,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir mengenai perlunya Bersatu kembali bersama HARAPAN.

Sambil menyifatkan kerjasama  politik tidak menentu antara Bersatu, UMNO dan Pas dibawah Perikatan Nasional (PN) Mukhriz tampil menyuarakan rasa lebih selesa untuk menjalin kerjasama bersama pemimpin HARAPAN.

"Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama HARAPAN? Beberapa kenyataan oleh pemimpin-pemimpin HARAPAN menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu kembali.

"Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan negara," kata Mukhriz dalam satu kenyataan di laman Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Sementara itu tambah Anwar, keputusan sama ada Bersatu mahu bersama HARAPAN atau tidak perlu dibuat oleh parti itu sendiri.

“Keputusan itu harus dibuat Bersatu, ada 2 Bersatu sekarang, keputusan harus dibuat sebagai 1 parti.

"HARAPAN mengambil sikap terbuka tetapi parti itu kena benar-benar menjunjung agenda kerana kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu," tegas Anwar.

Post a Comment

0 Comments