'Adun khianat' perlu diambil tindakan - AMK


ANGKATAN
Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mahu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengambil tindakan undang-undang terhadap dua Adun Bersatu yang menarik semula sokongan mereka terhadap kerajaan negeri.

Ketuanya, Fahmi Zainol dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan tegas itu perlu bagi memastikan budaya pengkhianatan dalam politik tidak menular di negeri itu.

"Jika Ketua Menteri Pulau Pinang mengambil ringan dan sambil lewa terhadap pengkhianat-pengkhianat ini, maka Pulau Pinang juga tidak akan terlepas dari dijangkiti wabak kartel dan pengkhinat ini," katanya.

Fahmi merujuk tindakan dua wakil rakyat dari Bersatu iaitu dun Bertam, Khalid Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim yang menukar sokongan kepada pentadbiran Muhyiddin.

Ia dipercayai susulan pelantikan mereka ke jawatan dalam agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sebagai rekod, kedua-dua mereka pada Mac menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri, walaupun parti itu membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan itu.

"Dengan pelantikan ini (Mereka) sudah menyatakan pendirian mereka yang kini lebih cenderung kepada kerajaan PN dan lebih cenderung kepada jawatan," kata  Fahmi Zainol sambil mengingatkan Chow untuk mengotakan janji agar adun yang "khianat dan berpaling tadah daripada mandat rakyat" mengosongkan kerusi mereka sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2012 merujuk kepada undang-undang antilompat parti di negeri ini.

Seseorang wakil rakyat perlu mengosongkan kerusi mereka jika melompat parti atau menjadi Adun bebas sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

"Selain itu, Ketua Menteri Pulau Pinang harus menyemak semula beberapa lagi Adun dalam Pulau Pinang yang memihak dan menyokong kepada Kerajaan PN secara langsung dan tidak langsung," tambah Fahmi.

Post a Comment

0 Comments