Mereka lebih utamakan jawatan - Marzuki


PENGERUSI  Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya menyifatkan tindakan dua ADUN parti itu yang menyatakan pendirian yang senderung kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai lebih mementingkan jawatan.

Dipetik laporan Malaysiakini, Marzuki mendakwa kedua-duanya tidak meminta pandangan mengenai jawatan yang ditawarkan kepada mereka oleh pentadbiran Muhyiddin.

"Mereka telah memilih untuk mengutamakan jawatan sementara meninggalkan mandat rakyat," tegas Marzuki, Setiausaha Agung parti yang kedudukannya kini dipertikaikan.

Beliau sebelumnya mengulas tindakan  Khalid Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) 'beralih arah' walaupun telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada bulan Mac lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Khalid dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Manakala Zolkifli dilantik sebagai ahli jawatankuasa penasihat Mara Corp Sdn Bhd, yang merupakan cabang pelaburan Mara.

Sementara itu, Marzuki menyifatkan kedua-dua ADUN tersebut lupa bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum 2018 telah membawa kemenangan kepada mereka sehingga bergelar wakil rakyat.

"Saya tak ada apa nak cakap lagi, tetapi sebagai pengerusi negeri Pulau Pinang, saya akan sentiasa berpegang kepada prinsip yang kami tetap bersama HARAPAN.

"Kenyataan mereka bahawa mereka telah menerima jawatan persekutuan dan mengisytiharkan diri mereka sebagai pembangkang di negeri ini adalah keputusan peribadi mereka sendiri," tegas Marzuki.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mahu tindakan diambil keatas kedua-dua ADUN tersebut.

Difahamkan, Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2012 merujuk kepada undang-undang antilompat parti di negeri ini menetapkan bahawa seseorang perlu mengosongkan kerusi mereka jika melompat parti atau menjadi Adun bebas sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Kedudukan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak terjejas dengan keputusan dua ADUN tersebut. Perkembangan terbaru itu menyaksikan lima Adun Pulau Pinang kini menyokong pembangkang, termasuk dua daripada Umno dan satu daripada PAS, manakala 35 Adun lagi menyokong kerajaan (HARAPAN).

Post a Comment

0 Comments