1MDB: Saksi dedah minit tak direkodkan demi lindungi Najib


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa ada beberapa keputusan syarikat kontroversi 1 Malaysia Development Berhadap (1MDB) tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, ia demi melindungi pemegang taruh terbesar iaitu Najib Razak.

Ketika menjawab soalan Ketua Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam, beliau berkata, itu adalah antara sebab mengapa keputusan menukar firma audit Ernst & Young (EY) kepada KPMG tidak diminitkan, sebaliknya apa yang direkodkan dalam minit mesyuarat hanyalah perbincangan lembaga pengarah yang menyalahkan EY kerana melengah-lengahkan proses penilaian aset syarikat usaha sama (JV) PetroSaudi International (PSI) dan 1MDB.

“Kami memang berbincang (mengenai penukaran itu), tetapi ia tidak diminitkan. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya dalam 1MDB dari 2009 hingga 2013, saya dan ahli lembaga pengarah lain beranggapan kami perlu berhati-hati dalam meletakkan keputusan dalam minit mesyuarat.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada perkara berkenaan digunakan ke atas pemegang taruh utama kami iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya di kamar mahkamah.

Semalam kes bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional itu disambung kembali setelah tujuh bulan tertangguh.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Ketika disoal mengapa beliau beranggapan usaha sama PSI dan 1MDB adalah kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), sedangkan PSI enggan memberi butiran diperlukan EY, Shahrol Azral menjawab, ia berdasarkan hubungan erat antara Najib dan pemerintah Arab Saudi ketika itu iaitu Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

“Asal usul kerjasama ini adalah hal peribadi, antara Najib dan Raja Abdullah. Itu apa yang dimaklumkan kepada saya. Saya tiada sebarang alasan untuk meragui bahawa ini adalah hubungan G2G,” katan Shahrol Azral, yang merupakan saksi pendakwaan ke-sembilan.

Sementara itu, Shahrol memberitahu, keputusan menukar firma audit Ernst & Young kepada KPMG adalah kerana  EY tidak dapat membuat penilaian aset selagi tidak mendapat beberapa dokumen yang diperlukan dari PSI.

Sementara KPMG tidak memerlukan dokumen berkenaan, sebaliknya cukup dengan nota murabahah yang disediakan.

Post a Comment

0 Comments