PENTADBIRAN Muhyiddin Yassin tidak memberi sebarang alasan mengapa tidak mahu memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu berkenaan wabak koronavirus (Covid-19), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden KEADILAN itu berkata, tindakan itu agak aneh kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) telah memberi jaminan bahawa sidang khas itu hanya akan membincangkan isu wabak tersebut dan bukan isu-isu lain.
Majlis Presiden HARAPAN kemukakan pandangan minta sidang Parlimen khas bincang hanya Covid-19 dan tidak ada isu atau usul lain.
"Itu pun tidak diterima. Tiada penjelasan.” katanya pada sesi Live di Facebooknya.
Sebagai rekod, wabak koronavirus kini telah mengorbankan 88 nyawa dan menjangkiti 5,305 individu di Malaysia setakat ini.
Selain ahli politik, beberapa badan profesional juga sebelum ini tampil menggesa agar sidang khas diadakan bagi membincangkan isu berkenaan, termasuk usul meluluskan pakej bantuan diumumkan Muhyiddin sebelum ini.
Sementara itu, Anwar yang juga adalah Ahli Parlimen Port Dickson mengkritik keputusan untuk mengadakan persidangan hanya satu hari.
Sambil menyifatkan tempoh dua hari memadai untuk membincangkan isu berkenaan koronavirus, ia jelasnya boleh dijalankan dengan langkah seperti mengurangkan jumlah ahli Parlimen yang hadir dan menjaga penjarakan sosial.
Persidangan itu juga jelasnya boleh juga dijalankan menerusi persidangan melalui video.
“Adakan sidang Parlimen pada 18 Mei, titah Diraja kemudian semua balik.
“Boleh buat melalui siaran langsung dan ahli Parlimen masing-masing di rumah dan mendengar kalau mahu begitu. Sidang Parlimen bererti kita boleh berbahas. Saya faham, tak perlu minggu-minggu untuk bahas,” katanya lagi.
Tindakan Dewan memanggil sidang singkat itu dikritik ramai Ahli Parlimen, Teresa kok (Seputeh) sebelum ini menyifatkan ia bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen yang sudah lama wujud.
Tindakan itu tegas Teresa mengambarkan pentadbiran Muhyiddin tanpa rasa malu dan terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi parlimen.
"Ada andaian kerajaan Perikatan Nasional tak mahu teruskan sidang Parlimen (kerana) bimbang ada muncul undi tak percaya.
"Makna tak yakin sokongan ahli Parlimen,” tambah Anwar mengulas isu berkenaan.
0 Comments