Sir Stirling Moss meninggal dunia


LEGENDA
sukan lumba kereta formula 1, Sir Stirling Moss meninggal dunia pada Ahad.

Media British melaporkan Moss 90 tahun, meninggal dunia susulan isu kesihatan dihidapinya akibat jangkitan ketika berada di Singapura pada Disember 2016.

Ucapan takziah memenuhi ruang media sosial susulan khabar pemergian mendiang tersebar termasuk dari ramai pelumba kejuaraan berprestij itu.

"Hari ini kita ucapkan selamat tinggal kepada Sir Stirling Moss, seorang legenda perlumbaan," kata penyandang juara dunia Lewis Hamilton melalui akaun Instagram.

"Saya rasa mendiang merupakan contoh terbaik seorang pemandu kereta lumba. Dia berjalan, bercakap dan bertindak seperti pemandu kereta lumba," kata juara dunia tiga kali Jackie Stewart.

Bekas penyerang England Gary Lineker turut menyampaikan ucapan takziah di akaun Instagram peribadinya.

"Sir Stirling Moss telah tiba di garisan penamat, dan ia satu perlumbaan yang hebat buatnya. Pemandu yang hebat dan seorang yang disegani. Takziah," katanya.

Terlepas gelaran dunia 

Sekalipun dianggap sebagai pemandu kereta lumba terhebat, mendiang tidak pernah memenangi sebarang kejohanan dunia.

Selama 14 tahun kariernya, Moss mencatat  212 kejayaan dalam 529 perlumbaan yang disertainya.

Beliau pernah menduduki tempat kedua dalam perlumbaan F1 pada tahun 1955 hingga 1958, dan ketiga setiap tahun pada 1959 hingga 1961.

Pada 1958 Moss terlepas gelaran juara dengan hanya ketinggalan satu mata kepada pencabarnya Mike Hawthorn. Pada kejuaraan musim itu, Moss memenangi 16 grand prix.

Pada tahun berikutanya, Moss sekali lagi terlepas peluang merangkul gelaran dunia apabila mengalami kerosakan pada perlumbaan akhir di Florida ketika beliau berada di hadapan.

Moss pernah mengungkapkan kata-kata: "Saya harap saya akan terus digambarkan sebagai pemandu terhebat yang tidak pernah memenangi sebarang kejohanan dunia, tetapi ia tidak begitu penting.

"Perkara paling penting bagi saya adalah mendapatkan rasa hormat daripada pemandu lain dan saya fikir saya sudah mendapatkannya."

Sebagai rekod, Moss bersara pada 1962 akibat kemalangan yang menyebabkan beliau koma selama sebulan.

Post a Comment

0 Comments