MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini tampil sekali lagi menggesa agar sidang Dewan Rakyat bersidang lebih lama.
Melalui satu kenyataan, mereka memberi alasan bahawa langkah kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh mulai 29 April - tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan - sepatutnya membolehkan Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya dua minggu.
Melalui kenyataan bersama itu, mereka turut menegaskan beberapa pindaan perlu dilakukan pada peraturan mesyuarat bagi membolehkan parlimen bersidang lebih lama antaranya mengenai sidang dalam talian dan penetapan jumlah anggota parlimen tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing.
"Masalah-masalah rakyat juga perlu perhatian khusus parlimen, termasuk isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan kerajaan bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif," kata mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada 17 April lalu ,Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.
Bagaimanapun berbeza daripada biasa, sidang tersebut hanya berlangsung selama sehari. Tiada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas akan diadakan.
Susulan keputusan itu, beberapa pemimpin HARAPAN tampil mengkritik, mereka mendesak agar sidang tersebut diadakan lebih lama terutama bagi membincangkan isu-isu berkaitan koronavirus (Covid-19).
Sementara itu, Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyataan siang tadi menegaskan, dalam keadaan lengkuk wabak Covid-19 mulai landai, beberapa akta dan undang-undang mesti dipinda atau digubal bagi melindungi perniagaan dan ramai yang mungkin kehilangan pekerjaan.
"Majlis Peguam serta persatuan-persatuan perniagaan juga menggesa beberapa akta dipinda atau undang-undang baharu digubal bagi menangani masalah dan memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik," tegas mereka.
0 Comments