TIGA buah negeri di utara semenanjung bakal dipertimbang untuk dikategorikan sebagai zon hijau koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga negeri itu, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mesti bebas daripada sebarang kes positif wabak itu untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 hari.
"Walaupun memang Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tidak ada sebarang kes baru sejak beberapa hari lalu, tetapi apa yang paling penting ialah, kita perlu menunggu untuk tempoh pengeraman (incubation) 14 hari sebelum kita boleh katakan kawasan itu bebas (daripada Covid-19)," katanya pada satu sidang media harian di Putrajaya semalam.
Dr Noor Hisham sebelumnya ditanya mengenai kemungkinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan cadangan melonggarkan perintah kawalan terhad (PKP) di beberapa negeri selepas tiada kes baru Covid-19 dicatatkan selama beberapa hari.
"Sekarang kita dalam proses untuk melihat hal itu, jika dalam tempoh 14 hari tiada kes dilaporkan di tiga negeri tersebut, mungkin kita boleh pertimbangkan ia sebagai negeri hijau," jelasnya.
Kerajaan sebelum ini berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) mungkin akan ditetapkan mengikut zon. PKP dikawasan kawasan zon hijau akan dilonggarkan, manakala kawasan merah diperketatkan.
Setakat ini tiada mana-mana negeri dalam negara ini diisytiharkan sebagai zon hijau kecuali beberapa daerah dalam sesebuah negeri.
0 Comments