GLC: Rafidah Aziz selar pentadbiran Muhyiddin


TINDAKAN
pentadbiran Muhyiddin Yassin menyingkirkan golongan profesional terutama 'wanita  berwibawa' dari jawatan kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikritik seorang bekas pemimpin negara.

Bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz melalui laman Facebooknya tanpa berselindung  menzahirkan rasa "meluat" terhadap tindakan kerajaan ditubuhkan dari langkah Sheraton itu.

Malah tokoh yang pernah digelar sebagai wanita besi itu turut menyifatkan tindakan menggantikan golongan berwibawa itu dengan individu lain sebagai pramatang dan dilakukan secara melulu.

"Apa yang meluat ialah cara penyingkiran dan pelantikan (baru) dibuat.

"Penyingkiran, pemberhentian atau penggantian secara rawak individu berwibawa yang kebanyakannya masih dalam kontrak - buat masa ini - melibatkan wanita yang berdaya saing serta profesional [...]

"Dan (mereka) tidak dinilai berdasarkan prestasi mereka.

"Satu-satunya alasan yang diberikan ialah kerana mereka merupakan 'lantikan politik' kerajaan sebelumnya, justeru mereka mesti diganti "katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Sejak beberapa hari lalu sejumlah tokoh kanan dalam GLC diumum ditamatkan perkhidmatannya atau diganti oleh kerajaan. Langkah itu dilakukan ketika negara masih bergelut untuk mengatasi ancaman Covid-19.

Antara tokoh yang terbabit ialah Noripah Kamso (pengerusi Bank Rakyat), Hasnita Hashim (Mara), Farida Ariffin (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) dan Mohd Bakke Mohd Salleh (Lembaga Minyak Sawit Malaysia).

Zakri Khir pula meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala Dr Nungsari Ahmad Radzi pula melepaskan tugasnya sebagai pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah.

Sementara itu, Rafidah mempersoalkan sama kekosongan jawatan akibat penyingkiran dalam GLC itu bakal diisi oleh orang yang berkepentingan kepada pentadbiran Muhyiddin.

"Kita mahukan 'orang kita sendiri' di sana mungkin supaya mereka boleh melakukan 'bidaan kami' terutama apabila anggaran dan kontrak berjuta-juta ringgit akan muncul?" katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments