SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) terkejut dengan jawapan seorang menteri berhubung isu 'bakal makanan' yang sepatutnya disumbang di kawasannya.
Cha Kee Chin (Rasah) berkata, beliau benar-benar terkejut dengan kenyataan Ismail Sabri bahawa 150 bungusan makanan yang dikhaskan untuk kawasannya bukan sumbangan dari pentadbiran Muhyiddin tetapi sumbangan NGO.
“Penafian hanya dilakukan oleh kerajaan pusat selepas saya mempertikaikan nilai bakul makanan tersebut.
"Ia jelas menunjukkan kerajaan cuba melepaskan diri daripada ketidakpatuhan terhadap garis panduan dengan menuding jari kepada NGO," kata Cha mengulas kenyataan menteri itu.
Cha sebelum ini melalui satu laporan media memberitahu bahawa pejabatnya ada menerima sebahagian bakul makanan dijanjikan pentadbiran Muhyiddin ke kawasannya.
Namun, berdasarkan pemeriksaan, bungkusan yang sepatutnya bernilai RM100 setiap bungkus itu, didapati hanyalah bernilai sekitar RM35 sahaja.
Mengulas lanjut, Cha menyifatkan Parlimen Rasah setakat ini masih belum menerima apa-apa bakul makanan daripada kerajaan Perikatan Nasionl (PN), ia berdasarkan kenyataan dibuat Ismail Sabri sendiri.
Sehubungan itu, Cha meminta menteri itu memberikan jawapan yang jelas, dimana 1,000 bakul makanan bernilai RM100 setiap bakul yang dijanjikan untuk kawasannya.
“Bilakah 1,000 bakul makanan untuk keluarga B40 di Parlimen Rasah akan dibekalkan.
"Pengagihan bakul makanan kepada B40 amat mustahak,ramai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selama ini
“Kegagalan kerajaan pusat membekalkan bakul makanan sehingga sekarang amat mengecewakan masyarakat setempat yang wajar dan wajib dibantu segera,” kata Cha dalam satu kenyataan.
Selain itu, Cha turut meluahkan rasa kecewa atas kegagalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun menjawab pertanyaannya tentang isu bakul makanan tersebut.
“Kegagalan sebegini menimbulkan persoalan apakah terdapat ada udang di sebalik batu?” katanya sambil membidas sikap kementerian itu yang dilihat gagal bersikap adil mengagihkan bantuan dijanjikan itu.
0 Comments