KERAJAAN Arab Saudi pada Khamis mengenakan perintah berkurung 24 jam di Makkah dan Madinah.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri berkata, perintah itu dikuatkuasakan sehingga diberitahu kelak.
Ia sebagai langkah terbaru memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara itu.
Susulan perintah tersebut, hanya orang dewasa dibenarkan keluar rumah untuk tujuan mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan, dari 6 pagi hingga 3 petang.
Maksimum dua orang dibenarkan berada dalam sebuah kereta pada satu-satu masa, termasuk pemandu.
Bagaimanapun, larangan itu terkecuali kepada mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang penting dengan farmasi, kedai bekalan makanan, stesen minyak dan perkhidmatan perbankan dibenarkan beroperasi.
"Kementerian Dalam Negeri menyeru rakyat dan penduduk menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan barang keperluan." kata laporan yang memetik sumber.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi juga menyeru orang ramai memahami tanggungjawab masing-masing, mematuhi arahan serta langkah pengasingan demi kepentingan awam.
0 Comments