KESEMUA Adun di Pulau Pinang dilapor memperuntukkan 30 peratus dari gaji mereka bagi dana menghadapi Covid-19 di negeri itu melalui tabung diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow akhir Mac lalu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Adun kerajaan negeri Teh Lai Heng (DAP-Komtar) dan ketua pembangkang Muhamad Yusof Mohd Noor (BN-Sungai Dua) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan perkara itu.
"Menerusi sumbangan 30 peratus gaji ini, diharapkan segala usaha serta inisiatif kerajaan negeri dapat dipertingkatkan. Sama-sama kita bendung penularan wabak Covid-19 dan bangunkan semula negeri yang kita cintai ini," kata mereka melalui kenyataan tersebut.
Melalui kenyataan serupa, mereka turut menyuarakan penghargaan penghargaan kepada Ketua Menteri atas peruntukan RM30,000 kepada semua adun untuk berdepan dengan wabak tersebut.
"Turut dihargai adalah sumbangan penutup muka dan kelengkapan-kelengkapan lain untuk kegunaan serta keperluan komuniti setempat di kawasan DUN masing-masing," kata mereka lagi.
Dalam perkembangan serupan, Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang pula mengumumkan akan menyumbangkan sebulan gajinya untuk dana untuk menangani pendemik itu di Pulau Pinang.
Law yang merupakan bekas adun Bukit Tambun dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), berkata beliau berharap sumbangannya itu akan memberi makna kepada usaha melawan wabak tersebut.
"Saya hanya menunjukkan sokongan saya terhadap usia mulia melawan pandemik itu.
"Saya sangat yakin kerajaan Pulau Pinang mampu meminimumkan impak pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP), dan mengatasi waktu-waktu sukar ini tidak lama lagi," katanya dipetik Malaysiakini.
Beliau juga menyuarakan penghargaan kepada NGO dan penduduk negeri itu yang menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan ketika ini.
Sementara itu, Adun Kebun Bunga dari KEADILAN, Jason Ong Khan Lee turut dilapor menyumbangkan RM5,000 tambahan untuk dana kawasannya.
0 Comments