Umno tak selesa dengan pelantikan Azmin


UMNO
dilapor tidak selesa atas pelantikan Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali sebagai menteri kanan.

Seorang pemimpin utama Umno, berkata tindakan Muhyiddin memilih Azmin sebagai menteri kanan - dan akan mempengerusikan mesyuarat kabinet ketika ketiadaan perdana menteri mungkin disebabkan agenda tertentu.

"Ini adalah isyarat yang tidak bagus. Umno tidak berapa selesa melihat perkara itu.

"Bagi saya (pelantikan Azmin sebagai menteri kanan) itu sebagai penerusan agenda Bersatu, dan mungkin lebih daripada itu," kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman dipetik Malaysiakini.

Untuk rekod Azmin ialah bekas timbalan presiden KEADILAN yang berpaling tadah dan mengetuai 10 ahli parlimen lain meninggalkan parti yang membawa kepada jatuhnya kerajaan yang baru berusia kira-kira 22 bulan.

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, ada menceritakan latar belakang yang membawa kepada tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dalam temu bual beliau yang disiarkan Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Tajuddin turut  berkata kabinet Muhyiddin juga dilihat menyukarkan Umno berkhidmat kepada pengundi mereka.

Ia jelasnya berdasarkan pembahagian portfolio kabinet Muhyddin yang dianggap tidak menampakkan keseimbangan.

Sebelum ini ada beberapa pemimpin kanan Umno dan bekas menteri menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet Perikatan Nasional (PN) itu.

Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, bekas menteri, Azalina Othman Said dan veteran Umno, Shahrir Samad antara yang bersuara.

Post a Comment

0 Comments