Liberal: serangan Dr Mahathir kepada Anwar tak berasas


DAKWAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan orang Melayu kerana falsafah politiknya yang liberal dianggap serangan politik terhadap Anwar.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid  berkata, kenyataan Dr Mahathir itu bukan sahaja tidak berasas malah jelas mempunyai agenda yang tersirat.

“Jadi, saya tidak faham mana buktinya Anwar ditolak. Bagi saya ia (kenyataan Dr Mahathir) tidak betul sama sekali.

“Kalau kata Anwar ditolak (orang Melayu) kenapa kita kuasai kerusi di Parlimen, malah logo yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga menggunakan logo KEADILAN yang mencerminkan Anwar,” dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani menegaskan bahawa Dr Mahathir yang memegang jawatan nombor satu negara melalui tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya lalu tidak sewajarnya menyerang Anwar dengan kenyataan itu.

Malah tegasnya, Rakyat sendiri sedia maklum siapa antara Mahathir dan Anwar yang lebih liberal.

“Saya sendiri tidak faham dengan maksud liberal yang ditujukan kepada Anwar kerana kalau kita lihat dari latar belakang keluarga mereka (Anwar dan Dr Mahathir), saya pasti rakyat dapat menilai siapa yang liberal sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana falsafah politiknya yang liberal.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam kerana orang Melayu hari ini hanya ada kuasa politik.
 

Post a Comment

0 Comments