K'jaan Muhyiddin tidak ada hala tuju - Anwar


PENTADBIRAN Muhyiddin Yassin tidak mempunyai hala tuju jelas dalam menangani isu ekonomi dan Covid-19, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata demikian sebagai mengulas prestasi kerajaan baharu itu.

Tambah Anwar, sama ada menjadi kerajaan atau tidak, Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memantapkan kekuatan gabungan itu untuk membangkitkan isu-isu besar yang berkaitan dengan pengangguran, isu ekonomi dan kesusahan rakyat.

Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih Putrajaya dengan mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli parlimen yang lompat parti, perlu bekerja keras untuk menyelesaikan isu-isu utama, jelasnya.

"Kami tidak menolak apa-apa kemungkinan tetapi tumpuan mestilah kepada rakyat, Covid-19 dan isu-isu ekonomi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN hari ini.

Anwar sebelumnya ditanya media apakah HARAPAN akan tetap membawa usul tidak percaya di parlimen bagi menentukan sokongan ahli Dewan Rakyat pada sidang 18 Mei nanti.

Jelas Anwar, pihaknya akan memerhatikan keadaan politik pada minggu-minggu akan datang dan langkah seterusnya akan bergantung kepada tahap sokongan yang diraih gabungan itu.
 

Post a Comment

0 Comments