Kemalangan Drama Band tiada kaitan mabuk - Polis


PIHAK Polis menafikan kemalangan membabitkan Kumpulan Drama Band di Pulau Pinang awal pagi semalam berpunca dari pemandu mabuk.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemandu sebuah kereta terbabit turut mempunyai lesen memandu sah, namun pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati lelaki dari Juru itu disyaki tidak mabuk ketika kejadian dan dakwaan mengatakan dia berada di bawah pengaruh alkohol tidak benar.

"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan terhadap pemandu kereta itu," katanya dipetik.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi semalam, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki kumpulan penyanyi itu remuk teruk selepas dirempuh dari arah bertentangan.

Dalam kejadian itu, anggota kumpulan itu, Aepul Roza, Daus dan Fadhil mengalami calar-calar di badan akibat hentakan kuat. Namun, kenderaan yang dinaiki mereka rosak teruk.

Seorang ahli kumpulan itu, Aepul yang dipetik laporan sebuah lagi portal memberitahu, mereka baru tiba dari Kedah menuju ke lokasi penginapan di Pulau Pinang, apabila kenderaan dinaiki dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang didakwa melalui selekoh berkenaan dengan laju.

Aepul yang dipetik laporan itu berkata, mereka berjumpa dengan pemandu kereta terbabit dan penumpangnya dan apabila ditegur beliau terbau seperti alkohol daripada mulut pemandu dan teman-temannya.

Difahamkan, artis berkumpulan ini dalam rangka promosi kumpulan berkenaan di enam lokasi bermula di Perlis pada 13 Mac lalu hingga akhir bulan ini.

Post a Comment

0 Comments