PELAJAR sekolah di negeri Sabah kemungkinan diberi lanjutan cuti bagi mengawal penularan wabak koronavirus.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya kini juga sedang mempertimbang lebih banyak langkah bagi menangani isu kesihatan itu termasuk mendapatkan kerjasama sektor swasta supaya membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah.
Selain itu, Shafie juga merayu rakyat Sabah meminimumkan pergerakan mereka, termasuk mengelakkan daripada melakukan perjalanan tidak perlu.
“Saya menggesa orang ramai supaya bertenang dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19. Kita boleh mengatasinya jika kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes positif pertama dikesan di negeri itu pada minggu lalu membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun dari Tawau. Lelaki itu difahamkan merupakan antara mereka yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur antara 27 Februari hingga 1 Mac.
Jabatan Kesihatan Sabah turut difahamkan telah mengenal pasti 49 kes di negeri ini setakat semalam dan sedang mengambil langkah-langkah untuk mengesan mereka yang menghadiri majlis sama dan juga individu yang bersama mereka 10 hari lepas sejak mereka kembali.
“Jabatan Kesihatan dan yang lain telah bertungkus lumus untuk mengesan dan mengenal pasti kawasan yang mungkin telah tercemar.
Mereka juga mengambil tindakan segera termasuk menutup masjid dan surau buat sementara waktu di kawasan yang didapati ada kes Covid-19,” kata Mohd Shafie.
0 Comments