PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak mengumumkan barisan kepimpinan baharunya semalam.
Ketua Cabang Julau, Larry Sng Wei Shien dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN negeri yang menggantikan Baru Bian, bekas pemimpin KEADILAN yang meninggalkan parti itu bersama 10 lagi Ahli Parlimen yang setia kepada Mohammad Azmin Ali.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya berkata, nama Pengerusi dan pimpinan utama KEADILAN Sarawak dipersetujui setelah selesai perbincangan dan rundingan di antara presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua-ketua cabang negeri Sarawak.
Susulan pelantikan itu, Larry Sng akan bergandingan dengan Abang Zulkifli Abang Engkeh selaku timbalan Pengerusi Negeri.
“Jawatan Naib Pengerusi 1 disandang oleh ahli Parlimen yang juga Ketua Cabang Miri, Michael Teo Yu Keng; Naib Pengerusi II oleh Roland Engan (Ketua Cabang Baram) dan Naib Pengerusi III, Japar Suyut (Timbalan Ketua Cabang Lawas),” katanya kenyataan tersebut.
KEADILAN juga melantik Naib Presiden (lantikan) iaitu Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Anak Muyang@Tambat dalam kalangan anggota bagi Negeri Sabah atau Sarawak selaras dengan Perlembagaan parti bagi mengisi kekosongan yang ada.
Datuk Seri Hafsah Harun turut dilantik sebagai penasihat KEADILAN negeri Sarawak.
Dalam masa sama, Saifuddin menjelaskan, struktur Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak yang lengkap akan diumumkan oleh kepimpinan peringkat negeri yang baharu.
0 Comments