Dr Musa anggap perbuatan menteri memalukan


TINDAKAN
Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyertai proses nyah kuman Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur semalam terus menerima kecaman pakar perubatan.

Perunding Pediatrik dan Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin menyifatkan tindakan Zuraida itu sebagai "tidak bertanggungjawab dan memalukan" tambah lagi ahli politik itu mengenakan Pakaian Perlindung Peribadi (PPE) yang kini dilaporkan tidak mencukupi untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

"Ini mengurangkan lagi benteng pertahanan terakhir kita (bekalan baju pelindung) dalam menyaring dan menyelamatkan pesakit Covid-19," kata Dr Musa dalam kiriman Twitternya.

Beliau sebelumnya memberi respons terhadap ciapan pengguna media sosial lain yang tidak senang terhadap tindakan Zuraida itu.

Semalam, Zuraida menjadi tumpuan ramai - termasuk kalangan ahli politik kerana menyarung pakaian lengkap seperti petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19 semasa menyembur bahan nyah kuman di Petaling Jaya.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan tindakan tersebut satu 'gimik politik' dari bekas pemimpin KEADILAN yang dipecat itu.



BACA: AMK anggap 'gimik politik', selar tindakan menteri 

BACA: Anak yatim, asnaf hasilkan pelindung muka

Sementara itu tambah Dr Musa,  dalam keadaan sekarang adalah lebih baik untuk Zuraida berada di rumah berbanding menyembur bahan sanitasi seperti yang dilakukannya semalam.

"Sebaiknya dia duduk dirumah dan tidak memperbodohkan diri sendiri," ciapnya.

Sebagai rekod Dr Musa sering dijemput sebagai panel dalam program televisyen membabitkan hal perubatan, beliau dikenali sebagai doktor yang selalu berterus-terang untuk menyampaikan pandangannya.

Post a Comment

0 Comments