Covid-19 ragut nyawa ke-10


MALAYSIA mencatatkan kematian kesepuluh akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan perkara itu berkata, kes kematian kesepuluh adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun.

Menurutnya, korban terbaru itu merupakan pesakit kes ke-259 dan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac 2020 setelah mengalami simptom pada 8 Mac 2020.

"Beliau telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatan beliau semakin merosot.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05petang, 22 Mac 2020," kata Noor Hisham dalam kenyataan medianya.

Sementara itu, kes baharu dikesan positif Covid-19 terus meningkat, sebanyak 123 kes baru yang telah dilaporkan hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada 123 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kulala Lumpur pada hujung bulan lalu.

Sebanyak 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Jumlah terbaharu itu menyaksikan Malaysia merekodkan peningkatan kes melebihi 100 orang bagi hari kelapan berturut-turut.

Setakat ini, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat adalah sebanyak 1,306 kes.

Post a Comment

0 Comments