PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan bercanggah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tegasnya, kenyataan mengelirukan dan perancangan tidak teliti telah menjejaskan orang ramai termasuk mahasiswa dan rakyat yang bekerja di Singapura kerana gagal mendapat informasi penuh sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diumumkan.
Situasi itu tegas Anwar tidak sepatutnya ketika Malaysia sedang berdepan bencana koronavirus (Covid-19) yang kian meruncing.
“Kita sedang menghadapi satu bencana ibarat keadaan darurat.
"Maknanya kita perlu perancangan teliti perdana menteri dan menteri-menteri duduk setiap hari teliti aspek yang perlu mereka laksanakan, faham kegelisahan di bawah.
“Menteri-menteri hilang dari radar, siapa turun (ke padang untuk) fahami kegelisahan rakyat?” soalnya dalam siaran langsung di Facebooknya.
Beliau berkata begitu dipercayai merujuk kepada kelemahan pentadbiran kerajaan memberi penjelasan lengkap sehingga menyebabkan orang ramai termasuk pelajar berpusu-pusu cuba pulang ke kampung.
Ia termasuk keperluan mengisi borang di balai polis terdekat sebelum balik ke kampung yang akhirnya menyebabkan kesesakan serius di luar balai polis sebelum arahan itu dibatalkan.
“Tak cukup penjelasan dan syarat baru diberikan.
“Bagaimana pula nasib ratusan ribu pekerja Malaysia di Singapura, Kementerian Pengangkutan dan Sumber Manusia nampak membisu,” katanya sambil menambah kira-kira 300,000 hingga 400,000 rakyat Malaysia merentas sempadan ke republik itu untuk bekerja?" soalnya lagi.
Tambah Anwar, MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri sepatutnya menjadi badan tertinggi untuk menasihatkan kerajaan persekutuan berhubung keselamatan negara susulan penularan Covid-19.
Pentadbiran Muhyiddin tegasnya boleh mengelak situasi panik dikalangan pelajar dengan menghubungi rektor universiti untuk membincangkan isu bekalan makanan dan tempat tinggal pelajar bagi mengelakkan mereka pulang ke kampung.
0 Comments