JUMLAH jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia sudah melebihi angka 700,000 pada Ahad.
Ia didedahkan agensi berita Anadolu melalui satu laporan berdasarkan data dikumpulkan Johns Hopkins University.
Menurut laporan itu lagi, setakat ini wabak berkenaan telah merebak ke sekurang-kurangnya 177 negara di dunia dan telah mengorbankan hampir 34,000 nyawa.
Daripada jumlah tersebut, kurang 150,00 berjaya pulih setakat ini.
Itali, Sepanyol, China dan Iran menjadi negara paling banyak mencatatkan kematian.
Di keempat-empat negara itu, Itali merekodkan angka korban seramai 10,779 orang dengan 98,000 kes jangkitan. Negara itu dilihat hampir berputus asa mengawal penularan wabak itu.
Manakala di Sepanyol seramai 6,606 dan lebih 78,700 kes disahkan, seorang kerabat diraja Sepanyol, Puteri Maria Teresa berusia 86 tahun yang juga sepupu Raja Sepanyol, Felipe VI, meninggal akibat dijangkiti koronavirus pada Jumaat.
China, dimana wabak ini didakwa bermula mencatatkan 3,300 kematian dengan lebih 82,100 kes. Sementara, angka korban di Iran mencecah 2,640 dan jumlah kes melebihi 38,300.
Amerika Syarikat (AS) kini menjadi negara paling ramai dijangkiti dengan 132,637 kes positif telah dilaporkan.
Di Malaysia setakat Sabtu, sebanyak 2,470 kes positif Covid-19 dengan 388 pesakit sembuh sepenuhnya setakat ini. wabak itu yang sedang memasuki fasa ke-3 telah mengorbankan 35 orang di negara ini.
0 Comments