LEBIH 120 badan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan meminta diberi pelepasan agar mereka dapat terus mengedarkan makanan, perubatan dan barang keperluan kepada golongan memerlukan.
Gesaan itu dibuat susulan arahan seorang menteri dibawah pentadbiran Muhyiddin yang tidak lagi dibenarkan NGO mengedar makanan kepada golongan memerlukan kerana kerajaan mahu meminimumkan pergerakan semasa Perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kami yakin NGO terlibat akan terus mengambil langkah sepatutnya demi menjaga kesihatan dan keselamatan, termasuk menggunakan pembersih tangan, memastikan penjarakan sosial dan mengehadkan bilangan pekerja kepada yang diperlukan sahaja,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Antara NGO terbabit ialah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Tenaganita, Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia, Yayasan Foodbank Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Dapur Jalanan Kuala Lumpur.
Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengarahkan NGO perlu menghantar makanan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Anggota REAL difahamkan akan mengedarkan makanan disumbangkan NGO itu kepada kumpulan sasar.
#KitaJagaKita
Sementara itu, kumpulan NGO itu berkata pentadbiran Muhyiddin mungkin tidak tahu berapa banyak komuniti dan golongan berisiko yang terjejas akibat PKP serta menghadapi kesukaran mendapatkan barang keperluan asas, termasuk makanan.
“Golongan yang terkesan termasuk B40, golongan miskin di bandar dan luar bandar, rakyat hilang punca pendapatan akibat PKP, golongan tua, tidak boleh keluar rumah, orang sakit, anak yatim, Orang Asli, pekerja asing, pelarian dan ramai lagi.
“Kerajaan agaknya tidak mungkin ada senarai semua golongan berisiko yang memerlukan bantuan pada masa ini atau mampu mengambil alih semua usaha membantu komuniti ini dengan segera.
“Dasar pemusatan yang dicadangkan ini dibimbangi ialah hasil perancangan kurang efektif dan pemahaman yang mungkin tidak lengkap berhubung permasalahan yang dihadapi golongan miskin.” tegas mereka lagi.
Katanya, kewujudan NGO bukan untuk menggantikan peranan kerajaan, sebalinya konsep #KitaJagaKita hanya menekankan krisis ini cukup parah sehingga semua rakyat Malaysia harus memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan satu sama lain.
“Krisis ini menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia. Kita semua perlu bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang bersatu padu.” tegas mereka lagi.
0 Comments