Elak kesan ekonomi parah, Anwar gesa kukuhkan IKS


PRESIDEN
Parti Keadilan rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan berkenaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020 yang diumumkan Muhyiddin Yasin baru-baru ini.

Tegas Anwar, walaupun beliau menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu, namun ia tegasnya tidak seharusnya bergantung kepada "dana pinjaman".

"Apakah tidak baik? (Ia) baik kerana menyentuh masalah rakyat. Saya tetap menyokong langkah yang membantu rakyat terutama golongan B40, tetapi penyelesaian ekonomi dalam pakej rangsangan mesti menyeluruh," jelasnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata  sekitar RM100 bilion daripada RM250 bilion yang disuntik dalam pakej itu berkaitan penangguhan pinjaman bank, RM40 bilion lagi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, RM60 bilion berkaitan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), dan RM50 bilion daripada Danajamin Nasional Berhad yang sebahagiannya dimiliki Ministry of Finance Inc (MOF Inc).

"Jadi kalau kita kumpulkan semua itu, (jumlahnya) RM250 bilion. (Tetapi) balik kepada persoalan pangkal iaitu RM22 bilion yang diperuntukkan.

"Bagaimana kita nak pacu ekonomi biar ia bergerak? Dua bulan, kita tampung melalui pinjaman," katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson itu justeru  menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini diperkukuh semula kerana ia secara langsung akan kesan kepada produktiviti negara dan kadar pengangguran.

"Ini (PKS) penjana terkuat dalam negara kita. Dalam ekonomi negara berkembang seperti Malaysia, peranan PKS amat penting, dan kita belum beri penekanan bagaimana nak merangsang supaya mereka (terus) hidup.

"Produktiviti negara dan pengangguran akan banyak terkesan kalau kita tidak tangani masalah ini, kerana mereka (PKS) menampung sebilangan besar pekerja...," katanya lagi.

Terdahulu beberapa persatuan mengkritik pelan dikemukakan pentadbiran Muhyiddin, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur & Putrajaya (KLPICC) melihat langkah tersebut bersifat sementara.

Setiausaha Agung KLPICC, Dr AT Kumararajah berkata, pakej " Kak Kiah' itu tidak dilihat sebagai sebarang percubaan yang jelas dan tegas untuk memenuhi keperluan IKS.

Post a Comment

0 Comments