PENYANYI veteran, Zaleha Hamid yang terlantar setelah diserang angin ahmar sejak Disember lepas mula menunjukkan perkembangan positif.
Perkembangan itu didedahkan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, yang berkata Zaleha atau nama penuhnya, Siti Zaleha Abdul Hamid, 65, sudah mampu menggerakkan jari kaki dan tangan kirinya, minggu lepas.
“Seminggu lepas, Mama (Zaleha Hamid) sudah mula boleh menggerakkan jari kaki dan tangan kiri, malah selepas sebulan sakit, Mama juga sudah boleh rasa (deria) sakit di bahagian badan.
“Saya dan anak, kalau boleh setiap kali selepas mandi mesti akan urut seluruh badan, menggerakkan tangan dan kaki, bersenam sedikit supaya kaki dan tangan Mama tidak kejang,” katanya dipetik.
Sebelum ini, keadaan kesihatan Zaleha merudum, penyanyi yang popular dengan lagu berkonsep dangdut dan pop tradisional pada era 80-an itu hanya mampu berbaring.
Malah sebelum ini, Ungku Sulaiman memaklumkan, Zaleha hanya boleh minum melalui tiub.
Zaleha yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak dan popular dengan lagu Dangdut Reggae, sebelum ini dilaporkan terjatuh di bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang pada waktu subuh, Disember lepas, sebelum disahkan mengalami angin ahmar.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari penyanyi popular pada era 80-an itu membuat persembahan di program realiti Gegar Vaganza, di ibu negara.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar menerusi Program Ziarah Kasih anjuran Kelab Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor.
Mohd Khuzzan berkata pihaknya akan membantu mempercepatkan sebarang urusan perubatan Zaleha di hospital selain melihat bantuan lain yang boleh disalurkan melalui Majlis Kebudayaan Negeri Johor.
Beberapa rakan artis seperjuangan Zaleha seperti penyanyi veteran Kamalia Latiff dan A. Rahman Onn difahamkan sentiasa memberi kata-kata semangat selain melawat serta menghulurkan bantuan.
0 Comments