Lagi kes pemandu mabuk 'bunuh' orang


SIKAP degil segelintir pemabuk yang terus memandu kereta dalam keadaan mabuk telah sering ditegur dan dikritik warganet.

Namun teguran dan kritikan itu dilihat seolah-olah mencurah air di daun keladi, kesalahan moral itu tetap dilakukan tanpa sedikit rasa insaf walaupun banyak kes kemalangan maut membabitkan pemabuk dilaporkan.

Terbaharu, dua remaja lelaki menjadi mangsa apabila dirempuh seorang pemandu wanita yang berada dibawah pengaruh alkohol (arak) dalam kejadian di Kilometer 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) jam 2.40 pagi tadi.

Kedua-dua remaja lelaki itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, dan Muhammad Amin Najmi Azaman,19, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125ZR dirempuh kereta Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 47 tahun dari arah belakang.

“Akibat rempuhan menyebabkan pembonceng dan penunggang tercampak dari motosikal dan kenderaan itu turut terbakar. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya dipetik.

Noorzainy berkata, pemandu kereta tersebut bekerja sebagai jurujual, dia dalam perjalanan dari sebuah pusat hiburan pulang ke rumah ibunya di Kepala Batas.

Wanita pemabuk itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Warganet sebelum ini mendesak kerajaan tidak tutup mata atas tindakan tanduk golongan pemandu mabuk ini dan menggesa hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang degil ini.

Post a Comment

0 Comments