MENYEDARI banyak dasar akan terganggu sekiranya kerajaan negeri bertukar tangan, apa yang dilakukan di Kedah wajar diambil sebagai contoh bagi meredakan kekusutan politik hari ini.
Ketika berlaku cabar mencabar kedudukan kerusi di beberapa negeri, Kedah mengambil langkah sederhana yang mampu memastikan pentadbiran dan semua rancangan untuk negeri tetap berjalan baik.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini mengumumkan tiada sebarang pertukaran berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah.
"Kerajaan yang ada sama, cuma satu perbezaannya dulu kerajaan HARAPAN, tapi sekarang kerajaan HARAPAN (Pakatan Harapan) campur Bersatu,” katanya.
Keputusan itu dicapai setelah Mukhriz mendapat sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan HARAPAN selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.
Berbeza di Johor, kerajaan negeri itu runtuh setelah Bersatu memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas lawan mereka Umno- yang sebelum ini menjadi pembangkang di peringkat negeri dan menyisihkan rakan sekutu yang bekerja keras merampas negeri itu dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kedah Datuk Johari Abdul berkata, langkah meneruskan pentadbiran sedia ada di negeri itu yang telah dibina sejak kira-kira 2 tahun lalu adalah penting demi kepentingan serta memenuhi mandat rakyat, pada pilihan raya umum yang lepas.
“Kami mengadakan perbincangan yang panjang untuk melihat negeri, rakyat dan pentadbiran negeri... keutamaan kami tentulah rakyat dahulu, untuk memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Keputusan itu turut disokong Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew.
Jelas pemimpin di peringkat negeri itu menunjukkan sifat berlapang dada berbanding beberapa kerat pemimpin di peringkat nasional yang saling jatuh menjatuh dan menukar pendirian berdasarkan kepentingan parti mereka.
0 Comments