PENGUNJUNG diminta tidak menghampiri kawasan Pantai Sura Hujung di Dungun susulan keadaan ombak besar yang melanda kawasan pantai berkenaan sejak seminggu lalu.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya merasa kesal dengan sikap segelintir pengunjung degil yang tidak mempedulikan keselamatan diri apabila terus menghampiri pesisir pantai itu walaupun tidak selamat.
Lebih membimbangkan katanya, ada dikalangan pengunjung turut membawa anak-anak mereka menghampiri kawasan pantai.
Tambahnya, kejadian lemas yang mengorbankan tiga beradik yang ditarik ombak pada 30 disember 2018 lalu harus dijadikan pengajaran.
“Kita tidak mahu lagi kejadian sebegini terus berlaku, jadi kita nasihatkan orang ramai tidak menghampiri pantai.
Kami turut mengerakkan anggota memantau di semua kawasan pantai untuk memberi nasihat dan peringatan kepada pengunjung,” katanya.
Antara kawasan pantai di Dungun yang sering dikunjungi orang ramai termasuklah Pantai Teluk Bidara, Pantai Sura Tengah dan Pantai Sura Hujung.
Sementara itu, Mohd Aidil berkata, pihaknya turut menasihati golongan nelayan tidak keluar menangkap ikan pada masa ini disebabkan cuaca yang tidak menentu.
0 Comments