PEJABAT Kesihatan Daerah Langkawi menerima dua alat pengimbas suhu untuk proses saringan kesihatan bagi diletakkan di pintu masuk pulau pelancongan terkenal itu.
Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mohd Lutpiyudin Azidin berkata alat pengimbas suhu itu masing-masing diletak Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Terminal Feri Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
"Jurutera syarikat yang membekalkan alat itu siap memasang alat pengimbas itu di Terminal Feri Kuah dan memberi penerangan cara penggunaan alat berkenaan kepada kakitangan terlibat sebelum mula beroperasi pada hari yang sama.
"Alat pengimbas di LTAL pula akan mula digunakan beberapa hari lagi, ini merupakan tambahan kepada satu alat pengimbas sedia ada di lapangan terbang itu," katanya dipetik laporan Bernama.
Hujung bulan lalu, Kementerian Kewangan meluluskan serta-merta peruntukan tambahan untuk membeli 12 pengimbas suhu bagi mengekang penularan wabak koronavirus yang ketika ini sangat membimbangkan.
Menterinya Lim Guan Eng berkata pengimbas suhu itu memastikan proses tapisan diperkukuhkan di kawasan-kawasan pintu masuk negara.
Sementara itu tambah Dr Mohd Lutpiyudin berkata selain Terminal Feri Kuah dan LTAL, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi turut ditempatkan di tiga lagi lokasi untuk melaksanakan proses saringan ketibaan penumpang iaitu di Awana Porto Malai, Dermaga Tanjung Lembung dan Telaga Harbour Park.
0 Comments