SATU kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Badan Bertindak Selamatkan Bangunan Umno Selangor mahu menghantar memorandum supaya pelantikan bekas ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dinilai semula.
Pengerusinya, Mohd Isa Abu Kassim berkata, Mat Nadzari yang mengambil alih jawatan itu pada 5 Julai tahun lalu, dilihat gagal mentadbir pengurusan parti itu dengan baik.
Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor itu juga tegasnya gagal menyatukan pemimpin negeri serta ahli, malah rakyat rakyat dikatakan tidak selesa dengan kepimpinan beliau.
Memorandum itu akan dihantar kepada Presiden dan Timbalan Presiden dalam tempoh terdekat ini.
Mengulas lanjut, Mohd Isa menjelaskan, bukti kepimpinan Mat Nadzari tidak diterima, apabila pada 22 November tahun lalu, seramai 16 Ketua UMNO Bahagian tidak hadir ke Mesyuarat Perhubungan Negeri.
“Memorandum ini juga serentak dengan gesaan kita meminta Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan campur tangan untuk menyelamatkan bangunan UMNO Selangor,” katanya.
Sebagai rekod, Mohd Isa Abu Kasim adalah ADUN Umno Batang Kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Mat Nadzari kemudian menggantikan Mohd Isa sebagai ADUN kawasan itu pada 2013 sebelum kerusi itu dikuasai BERSATU melalui Harumaini Omar pada 2018.
0 Comments