PENGERUSI Parti Amanah negeri Johor Aminolhuda Hassan dilantik sebagai Penyelaras Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Johor.
Lantikan itu dibuat susulan perkembangan di negeri itu yang menyaksikan Bersatu bertindak keluar dari gabungan HARAPAN bagi membentuk pakatan baharu dengan Umno.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata keputusan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu adalah hasil perbincangan bersama semua ADUN HARAPAN di Johor dari Amanah, DAP dan KEADILAN.
"Selepas Bersatu keluar daripada HARAPAN, kita (HARAPAN Johor) perlu bincang antara tiga parti iaitu Amanah, DAP dan KEADILAN untuk menentukan perjalanan parti selepas ini.
"Sebab itu kita lantik Aminolhuda sebagai penyelaras HARAPAN Johor kerana ini penting kerana kita memerlukan seseorang yang boleh menyelaras aktiviti HARAPAN Johor," katanya.
Syed Ibrahim sebelumnya hadir ke mesyuarat khas bersama ADUN dari HARAPAN di Johor Baharu malam tadi.
Terdahulu, HARAPAN Johor mendakwa gabungan baharu daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersatu tidak mempunyai sokongan majoriti seperti dilapor sebelum ini.
Jelasnya, ia memandangkan HARAPAN Johor juga mempunyai bilangan kerusi yang sama iaitu 28 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Susulan itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seberapa segera bagi menyelesaikan isu itu.
0 Comments