Ada simptom, wanita di Kudat dikuarantin


KEMENTERIAN
Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mengesahkan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang juga seorang kakitangan Hospital di Kudat dikesan mempunyai simptom disyaki koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung yang dipetik laporan Metro bagaimanapun berkata, wanita itu, seorang Juruteknologi Makmal Hospital Kudat telah dikuarantin di rumahnya sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) (Covid-19) selama 14 hari.

Susulan itu tambahnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana wanita itu hanya disyaki.

“Sebelum seseorang itu dianggap dijangkiti Covid-19, dia harus sesuai dengan kriteria yang ditentukan oleh kementerian salah satunya jika dia pernah ke China.

“Tetapi dalam kes ini, dia tidak pergi ke China dan kita sedang memantau perkembangannya,” katanya dipetik.

Difahamkan, pada 15 Februari lalu, wanita terbabit dikatakan pergi ke Korea selama lima hari bersama beberapa rakannya dan kembali ke Sabah pada 20 Februari.

Ketika itu, dia dikatakan mengalami beberapa simptom seperti batuk, demam, selsema, sakit kepala dan tekak lalu membuat pemeriksaan di Hospital Kudat, semalam.

“Pagi esok saya akan mendapat laporan penuh mengenai ujian ke atas wanita itu,” katanya.

Untuk rekod, buat masa ini tiada sebarang kes koronavirus dilaporkan di negeri itu.

Post a Comment

0 Comments