SAHAM berkaitan Petronas didagangkan tinggi hari ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Sarawak terhadap syarikat minyak nasional itu.
Pada 11.09 pagi, saham Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM7.52 dengan 289,500 saham bertukar tangan, Petronas Gas naik 34 sen kepada RM17.22 dengan 97.900 saham diniagakan manakala Petronas Dagangan tidak berubah pada RM23.10.
Bernama dalam laporannya yang memetik Borneo Post percaya ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam menolak rayuan dikemukan Sarawak.
Ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Disember lalu yang memberi kebenaran kepada sarikat minyak nasional itu memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam Cukai Jualan Negeri (SST).
Sebelum ini, Petronas memohon semakan kehakiman bagi mengisytiharkan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan.
0 Comments