K'jaan Sabah batal pelaksanaan PPS


KERAJAAN
Negeri Sabah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Menurut Ketua Menteri, DatuK Seri Mohd Shafie Apdal, keputusan mengenainya dibuat dalam Mesyuarat Kabinet Sabah semalam berikutan  kontroversi dan bantahan pelbagai pihak baru-baru ini.

Sehubungan itu, Shafie berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku kementerian bertanggungjawab untuk menentukan keputusan dan tindakan lanjut berikutan pembatalan pelaksanaan PSS itu.

"Saya sudah berhubung dengan KDN dan maklumkan secara rasmi perkara ini bukan keputusan yang boleh dibuat secara persendirian.

"Saya perlu berbincang di peringkat Kabinet selepas mendengar apa yang rakyat suarakan bukan hanya di peringkat Kimanis, malah suara daripada pihak-pihak tertentu.

"Buktinya suara rakyat Kimanis jadi petanda di mana suara rakyat di kawasan Kadazandusun Murut (KDM) khususnya tidak boleh dipandang ringan dan kita dengar suara mereka," katanya dalam satu program di Kota Kinabalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lalu mengumumkan kementerian akan memperkenalkan PSS bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di negeri ini.

PSS yang awalnya dirancang untuk mula dikuatkuasakan mulai 1 Jun tahun ini mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari.

Tujuan asalnya adalah bagi menangani pemalsuan dokumen yang digunakan sebelum ini selain memastikan warga asing mematuhi prosedur dan proses ditetapkan Imigresen.

Bagaimanapun, isu PSS dimanipulasi pembangkang sehingga menyaksikan parti Warisan kalah pada PRK lalu.

Sementara itu, Shafie berkata kerajaan negeri akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa berhubung pengurusan pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Katanya, kerajaan akan memastikan isu kebanjiran PTI itu tidak menjejaskan keselamatan serta keadaan persekitaran sedia ada di Sabah.
 

Post a Comment

0 Comments