WALAUPUN Malaysia tidak ada mengimport produk pertanian dari daerah Wuhan, namun ia tidak bermakna kerajaan mengambil ringan isu penularan wabak koronovirus melalui produk itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata kementeriannya tetap perlu sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi wabak tersebut.
"Setakat ini, tiada produk pertanian yang diimport dari daerah Wuhan,"
"Saya telah diberi maklum bahawa setakat ini virus ini merupakan penyebaran antara manusia. Ia tidak lagi melibatkan bahan makanan," katanya.
Namun jelasnya Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah diarah untuk membuat pemeriksaan secara rambang di semua pintu masuk negara.
Pemeriksaan itu dilakukan terhadap item-item seperti daging dan buah-buahan.
"Walaupun tiada fakta yang menunjukkan berlakunya penyebaran melalui makanan tetapi itu sebagai langkah pencegahan," jelasnya lagi.
Setakat ini, wabak itu mencatat 4,500 dan 106 kematian di China.
Di Malaysia pula, empat kes positif wabak koronavirus dicatatkan yang kesemuanya merupakan kes import, manakala empat lagi kes disyaki dicatatkan yang turut melibatkan dua warga tempatan.
Wabak itu dikesan berpunca daripada sebuah pasar makanan laut di Wuhan yang turut menjual hidupan liar.
0 Comments