SATU lagi kes jangkitan koronavirus (2019-nCoV) disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malam tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes terbaharu yang dikesan di Johor Baharu itu melibatkan seorang lelaki berasal dari daerah wabak di China, Wuhan.
Susulan itu jelasnya, jumlah kes membabitkan koronavirus disahkan di negara ini adalah sebanyak empat setakat ini.
"Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Kes (pesakit) itu tiba di Johor Bahru pada Rabu (22 Jan) dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya; yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.
"Kes (lelaki) mula mengalami gejala demam pada Khamis (23 Jan) dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran," jelas Noor Hisham.
Tambahnya, lelaki itu kemudianya dirujuk dan menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.
Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini, telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan pada 25 Jan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.
Jelasnya ketika ini kes (lelaki) masih demam dan batuk, namun beliau berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancong yang sama, namun saringan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.
"Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan, sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka," kata Dr Noor Hisham lagi.
0 Comments