KEDUTAAN Besar China dilapor enggan menerima memorandum rakyat Malaysia, yang mendesak penindasan didakwa dilakukan terhadap etnik Uighur, umat Islam dan minoriti lain di negara itu dihentikan.
Perhimpunan hampir 1,000 orang semalam menyusuli solidariti untuk minoriti-minoriti di China yang diadakan di Hong Kong, Indonesia dan Turki sejak minggu lepas.
Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz yang dipetik laporan FMT semalam berkata pihaknya sudah memaklumkan kedatangan mereka kepada pihak kedutaan sejurus selepas solat Jumaat semalam
Bagaimanapun, pada akhirnya, tiada wakil kedutaan menemui mereka walaupun dakwanya Kedutaan Besar China berkata mereka “boleh” datang tapi kurang 100 orang.
Susulan itu difahamkan, menyebabkan mereka hanya memasukkan memorandum ke dalam peti surat.
“Kami bawa anak patung panda tanda persahabatan antara Malaysia dan China,” kata Faisal.
Himpunan hari ini merupakan cubaan ke-3 selepas himpunan 34 NGO termasuk Abim dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) pada Julai.
Jurucakap ketika itu mendedahkan kedutaan enggan menerima memorandum atas alasan tidak wajar baginya menerima memorandum daripada kumpulan kecil.
“Mereka kata ‘takkan kita 1 bilion (orang) nak terima (memorandum) daripada 3 orang?’” kata Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada pemberita.
Faisal berkata Abim akan terus menyuarakan bantahan sehingga Beijing menghentikan ketidakadilan terhadap Uighur dan kumpulan minoriti lain serta membebaskan semua tahanan di kem-kem penahanan di Xinjiang.
Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan aktivis berkata sekurang-kurangnya 1 juta orang Uighur dan kumpulan minoriti beragama Islam lain ditahan di kem-kem di Xinjiang sejak 2017.
Beijing menafikan orang-orang Uighur dianiaya.
0 Comments