KERAJAAN digesa menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan buat golongan belia di negara ini berbanding cuba melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan.
Sambil memberi contoh projek kereta terbang yang dianggap tidak perlu, pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Sugumaran Subramaniyam mengingatkan kerajaan kepada janji menyediakan 1 juta peluang pekerjaan dalam manifestonya.
Sementara itu, beliau juga turut menegaskan supaya pimpinan PH tidak terus menyalahkan kerajaan terdahulu atau tidak terpalit dengan sindrom penafian.
"Isu hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) terus menjadi perhatian semua. Kita tidak boleh berdolak-dalik. Janji itu janji.
"Saya mencadangkan supaya hutang PTPTN dihapuskan sebanyak 50 peratus buat permulaan ini dan bakinya sebelum hujung penggal pentadbiran PH," katanya.
Sugumaran berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan dasar berkaitan isu Kemahiran: Peluang Pekerjaan pada Kongres AMK di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Beliau turut mencadangkan supaya gaji minimum diperluaskan kepada semua kawasan tanpa memberi tumpuan kepada bandar sahaja.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan juga perlu memberi perhatian khusus dalam isu tersebut dengan menawarkan kursus-kursus berpotensi di universiti tempatan yang berpotensi melahirkan graduan mantap dan berkemahiran.
"Bergerak ke hadapan dalam mempertahankan keamanan negara dan menolak politik perkauman serta politik kafir-mengkafir yang giat dimainkan oleh pembangkang.
"Jangan kita ini menjadi parasit dan merosakkan keseluruhan sistem.
"Maka dengan ini, saya menyokong ucapan dasar Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir," katanya.