PENYANYI tersohor era 80-an Datuk Nassier Wahab telah pulang kepada penciptanya.
Awani dalam laporannya berkata, Nassier meninggal kira-kira jam 12,45 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Berita sedih itu turut dikongsikan rakan karib Allahyarham, Zur Eda yang juga teman seangkatannya dalam industri hiburan tanah air menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp.
“Innalillahi-wainnaillah-hirojiun... Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC.
“Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin,” tulisnya ringkas.
Seorang lagi teman Nassier dari zaman popularitinya iaitu Azizul Khamis turut berkongsi khabar duka itu menerusi akaun Facebooknya.
"Allahu Akbar. Al-Fatihah dengan bacaan untuk sahabat saya... Dato’ Nassier Wahab baru saja menghembuskan nafas terakhirnya malam ini tadi."
"Al-Fatihah.. Semoga rohnya tenang di sana," kata Azizul.
Terdahulu, Nassier, 57, menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.
Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.
Pembantu peribadinya, Aliff Salim mewakili Nassier berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu.
“Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya.
“Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya dalam satu temubual dengan Harian Metro.
Katanya, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.
“Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.
Menurutnya, umum memang nampak Nassier sihat, tetapi sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.
“Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat badannya agak susut,” katanya.
Allahyarham pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan.
0 Comments