LEMBAGA Disiplin KEADILAN digesa bertindak tegas dengan memecat mana-mana ahli parti itu yang melakukan pengkhianatan menerusi rundingan sulit bersama musuh politik.
Wakil perwakilan Johor, Mohd Shahrun Radzi Salehudin menegaskan, perbincangan sulit yang didakwa diketuai pemimpin parti itu sendiri bersama parti lawan adalah satu pengkhianatan dan sudah pasti tidak boleh dimaafkan.
“Ini boleh dijadikan bahan untuk parti lawan menentang dan menjatuhkan parti apabila mendapat usaha dalaman ini.
"Sebarang perbincangan anggota parti dengan pihak pembangkang mengenai isu dalaman adalah sebagai satu pendedahan kepada pembangkang bahawa parti sendiri mempunyai kelemahan kepemimpinan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Gesaan Shahrun dipercayai melibatkan timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin pro Azmin yang dilapor mengadakan perbincangan dengan beberapa Ahli Parlimen Umno sebelum ini.
Azmin sebelum ini didakwa bersekongkol dengan seorang bekas pemimpin Umno untuk mewujudkan sebuah kerajaan 'pintu belakang' tanpa kehadiran Amanah dan DAP.
Sementara itu tambah Shahrun, sejarah tamadun manusia sudah membuktikan bahawa jatuh dan hancurnya sesebuah kerajaan adalah kerana wujudnya golongan pengkhianat.
"Saya ingin mengingatkan kepada semua, kita tidak mahu parti yang disayangi ini hancur kerana adanya pengkhianat dalam kalangan kita yang bebas bergerak dalam parti ini serta tidak lagi menghormati Presiden.
“Apatah lagi mengenang jasa pejuang terdahulu yang perjuangan membangun serta mempertahankan parti ini.
“Inilah yang parti tidak mahu kerana aktiviti pembangunan rakyat tergendala kerana agenda sempit berkenaan,” katanya lagi.
0 Comments