JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang terus membanggakan Malaysia. Malah lebih membanggakan, pelumba basikal yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' itu turut mengotakan janji bangkit semula selepas prestasi kurang cemerlang sebelum ini.
Terbahru, Azizulhasni merangkul pingat emas acara keirin pada siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand, petang semalam.
Pelumba berusia 31 tahun itu mencatatkan kepantasan masa 9.853 saat untuk mengalahkan bekas juara dunia dari Rusia, Shane Perkins dan juara dunia Australia, Matthew Glaetzer yang mana masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Azizulhasni, membuka kempen dengan langkah kanan apabila menduduki tempat kedua di belakang Glaetzer pada saringan pertama sebelum memenangi saingan separuh akhir dengan masa 9.810s untuk melangkah ke final.
”Emas...khusus untuk anda MALAYSIA. Amat terhutang budi dengan peluang yang tidak berkesudahan dan sokongan padu yang diberikan.
”Jalur Gemilang kibar di New Zealand malam ini (waktu New Zealand),“ kata pelumba itu dipetik sebagai berkata dalam laman Facebook miliknya.
Pada 30 November lalu, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat keenam pada siri ketiga di Hong Kong.
Kemenangan terhabaru ini membuktikan beliau berada di landasan yang betul bagi mengejar pingat emas Olimpik di Tokyo, Jepun tahun hadapan.