Rafizi menang lagi, Mahkamah tolak saman NFCorp


MAHKAMAH P
ersekutuan pada Rabu memutuskan  Rafizi Ramli tidak memfitnah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd ( NFCorp) Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya atas dakwaan salah guna dana kerajaan.

Keputusan itu sekaligus menolak saman dikemuka NFCorp terhadap naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang mempengerusi tiga panel hakim berkata, Rafizi berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu, Malah bekas Ahlli Parlimen Pandan itu juga menyatakan pendapat jujur tentang NFC dan Salleh berdasarkan dokumen bank yang tidak dipertikai.

Dakwaan Rafizi bahawa dana awam disalah guna sebagai “leverage” untuk mendapatkan pinjaman juga akan menjadi pendapat yang jujur dan kesimpulan dibuat orang yang berfikiran wajar dalam keadaan itu.

Malah jelasnya projek NFC itu telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 yang mengetengahkan kegagalan dan kelemahannya, memandangkan ia membabitkan dana awam.

“Ia menarik perhatian orang ramai atas dasar akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik bagi semua yang terlibat dalam menguruskan dana awam.

“Responden (Rafizi) tidak didorong oleh niat jahat untuk membuat kenyataan yang dipertikaikan kerana beliau percaya dakwaan itu benar dan (kenyataan) dibuat bagi menjalankan tugas awamnya.”kata Azahar.

Panel hakim yang bersidang turut dianggotai Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof.
Salleh yang merupakan suami kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Abdul Jalil memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013, selepas beliau mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Rafizi bersikap jujur galas tanggungjawab awam
Pada 2016, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rafizi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Ia mengarahkan wang RM150,000 yang telah dibayar kepada Salleh dikembalikan dan menganugerahkan kos RM110,000 kepada Rafizi.

Dalam keputusan semalam, Mahkamah mengarahkan Salleh membayar RM70,000 kepada Rafizi.